5 fakta menarik tentang penyusuan susu ibu di Malaysia
- 1.2KShares
- Facebook1.2K
- Twitter3
- LinkedIn2
- Email3
- WhatsApp4
[To read this in English, click here]
Ok, pertama sekali, cepat mengaku, siapa yang klik artikel ini sebab ternampak gambar wanita cun dengan lurah dendamnya? Atau yang sampai di artikel ni sebab buat carian Google perkataan ‘payudara’, ‘nennen’ dan ‘breast’?
Eh eh… malu-malu pulak. Tak pe.. Kami tak hakimi korang. Pakcik, abang, adik-adik semua dipersilakan juga meneruskan pembacaan artikel tentang penyusuan susu ibu di Malaysia ni. Sokongan kaum Adam juga amatlah diperlukan dalam menjayakan kempen penyusuan susu ibu.
Jika kita lihat di media massa, ramai yang sudah sedar tentang kepentingan penyusuan susu ibu. ‘Breast is the best for babies’ bak kata omputeh. Banyak sangat kelebihan susu ibu contohnya: ia senang hadam, ada antibodi dan hormon pertumbuhan yg tiada dalam susu formula, rapatkan hubungan ibu-anak, membakar kalori ibu, tak perlu susah payah bawak bakul susu bila keluar rumah dan sebagainya.
Dan sekarang ni selebriti pun dah ramai menyusukan bayi mereka:
Jadi, bolehlah dikatakan yang penyusuan susu ibu ni bukan hanya terhad pada surirumah sahaja. Ibu berkarier, artis, model yang glamer pun sekarang ni susukan bayi sendiri.
Tapi apakah realiti sebenar penyusuan susu ibu di Malaysia? Kami kumpulkan lima fakta tentang penyusuan susu ibu Malaysia yang mungkin anda rasa menarik.
1. Kadar penyusuan susu ibu di Malaysia masih RENDAH
Menurut statistik hanya 34.2% bayi yang dilahirkan di Malaysia menerima susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan (‘eksklusif’ bermaksud hanya susu ibu saja, tanpa bantuan susu formula, air kosong dan makanan lain). Jauh lebih rendah berbanding negara maju seperti Korea yang mengamalkan penyusuan ibu pada tahap 80%!
Antara sebab-sebab kenapa jadi begitu ialah peningkatan peratusan ibu-ibu bekerja, kurang ilmu tentang penyusuan, tiada sokongan dari keluarga dan rakan-rakan.
2. Penyelesaian masalah penyusuan di hujung talian telefon
Sebenarnya ramai yang memandang rendah tentang ilmu penyusuan susu ibu ni. Ramai yang ingat menyusu anak ni senang.
Haiwan di hutan pun boleh susukan anak sendiri, nenek moyang kita tak pergi kursus laktasi pun susukan anak dengan susu ibu, takkanlah ibu-ibu yang (sebilangannya) berpendidikan tinggi tak reti susukan anak pulak kan? Lahir baby esok, letak je la depan nennen, nanti pandailah baby menyusu – kata mereka. Oh, betapa SILAPnya mereka.
Pengalaman penulis sendiri rasa sangat tertekan sewaktu berpantang anak pertama. Bukan pasal amalan berpantang tu sendiri. Tapi pasal menyusukan anak! Siapa sangka kan, benda macam ni pun susah? Ramai ibu yang memang faham kepentingan penyusuan susu ibu, sebelum bersalin memang berkobar-kobar mahu susukan anak tapi bila ada masalah penyusuan je terus pilih formula. Apa kata korang minta bantuan professional dulu sebelum mengaku kalah kepada susu tepung?
Jika bersalin di hospital rakan bayi (di sini ada senarai penuh hospital rakan bayi), sebelum pulang ke rumah, pastikan korang ambil dulu contact number staff yang ditugaskan untuk menangani penyusuan. Korang boleh telefon atau berjumpa mereka semula apabila ada masalah menyusuan.
Atau boleh juga hubungi mana-mana peer counsellor dari The Malaysian Breastfeeding Peer Counselor (MBfPC). Mereka ini adalah kumpulan rakan sokongan terlatih penyusuan susu ibu. Yang bestnyer mereka ada network di serata Malaysia. Mereka ada kumpulan sokongan, perjumpaan, seminar. Mereka juga boleh beri khidmat nasihat dalam telefon dan ada juga yang buat lawatan rumah/hospital.
Selain itu sekarang ni ramai juga kaunselor laktasi persendirian berbayar yang boleh juga korang hubungi jika mahu lebih perhatian eksklusif .
3. Bersalin di hospital kerajaan? Korang dilarang bawa masuk susu formula ke dalam wad materniti.
Suatu ketika dahulu susu formula merupakan satu kemestian dalam beg persediaan ke hospital ibu mengandung. Sebab, memang normal kebanyakan wanita mempunyai susu yang sedikit (atau tidak keluar susu) selepas 1-2 hari kelahiran. Hari ke-3 selepas kelahiran barulah payudara bengkak dengan susu. Tetapi setelah kerajaan Malaysia menyokong BFHI (Inisiatif Hospital Rakan Bayi) yang diutarakan oleh UNICEF dan WHO, sebarang susu formula dilarang diberikan kepada bayi yang baru lahir di hospital kerajaan.
Habis tu, kesianlah bayi menangis kelaparan sebab susu ibunya belum ada lagi? Ini zalim!
Sebenarnya, di awal-awal selepas kelahiran bayi hanya perlukan kolostrum bukannya susu yang banyak pun. Tahukah korang yang sebenarnya hanya 5% je ibu baru bersalin di dunia ni memang betul-betul mempunyai masalah bekalan susu dalam payudara sehinggakan mereka tidak boleh menyusukan bayi? Dapatkan khidmat professional dan pakar laktasi dulu sebelum anda pandai-pandai self-diagnos kata diri sendiri ‘tak mampu menyusukan’.
Di hospital rakan bayi biasanya disediakan pakar laktasi yang sudah ada pengalaman membantu macam-macam kes penyusuan: bayi pramatang, puting payudara tenggelam, bayi sumbing, bayi keliru puting (tidak mahu menyusu, bahkan ‘takut’ dengan payudara ibu). Jangan ego dan malu minta bantuan mereka. Mereka tak garang, malah sangat suka bila dapat tolong ibu menyusukan (ini pengalaman penulis sendiri – Kipidap PPUKM! :D)
4. Bank Susu difatwakan haram di Malaysia
Bank Susu adalah tempat pengumpulan dan penyaringan susu manusia yang didermakan oleh ibu-ibu yang mempunyai susu yang banyak bagi kegunaan bayi-bayi yang mana ibu mereka sendiri tak mampu menyusukan.
Bayi yang pra-matang, kematian ibu, mempunyai ibu yang berpenyakit kronik atau berjangkit merupakan antara pengguna susu dari Bank Susu. Susu manusia mempunyai kesesuaian dan kualiti yang jauh lebih tinggi daripada susu formula, sebab itulah ia merupakan pilihan kedua untuk bayi-bayi tersebut selepas susu ibu sendiri.
TETAPI, dalam Islam, bayi yang minum susu wanita lain (jika cukup syaratnya) akan mempunyai pertalian kekeluargaan dengan wanita itu (dan keluarga wanita itu). Jadi ditakuti akan ada kecelaruan nasab (keturunan) kerana bayi minum susu yang tidak di ketahui siapa pendermanya.
Sebab itulah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah memutuskan bahawa penubuhan bank susu tidak diharuskan. (nota kecil: Ini tertakluk pada Malaysia saja, sebab ada juga ulama besar di negara lain eg: Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawy berpandangan bahawa penubuhan bank susu adalah harus)
Tetapi penyataan ini juga dinyatakan:
“Muzakarah juga memutuskan bahawa bagi memenuhi keperluan bayi pra-matang yang memerlukan rawatan, juga ibu yang mempunyai kekurangan susu atau mempunyai penyakit kronik/berjangkit dan tidak dapat menyusukan bayi, adalah harus bagi ibu-ibu menderma susu ibu secara sukarela kepada bayi-bayi yang memerlukan dan keluarga bayi serta perderma perlu mengenali antara satu sama lain”
Yang membawa kita kepada… Human Milk For Human Baby Malaysia!
Bila ibu Nabi Muhammad s.a.w tidak dapat menyusukan beliau tidaklah diberi susu lembu atau kambing, tetapi dicarikan ibu susuan. Sampai dua orang ibu susuan beliau. Menunjukkan yang amalan ibu susuan ini sudah wujud sejak dulu lagi. Human Milk For Human Baby Malaysia merupakan komuniti di mana ibu-bapa boleh mencari ibu susuan untuk anak-anak mereka, ibu-ibu Muslim yang berlebihan susu badan boleh cari anak susuan untuk diberi susu, dan untuk yang bukan Islam, mereka boleh mendermakan lebihan susu ibu kepada mana-mana bayi-bayi yang memerlukan.
5. Ibu-ibu menghadapi layanan buruk ketika menyusukan bayi
Malaysia masih kurang kemudahan bilik menyusu (nursing room / baby room) di tempat-tempat awam. Jika ada bilik menyusu pun, biasanya sempit dan yang paling tak best sekali ada kaum bapa yang turut sekali masuk ke dalam bilik menyusu. Ini menyebabkan ibu-ibu yang lain rasa segan untuk gunakan bilik menyusu yang sama.
Jadi tak hairanlah ramai ibu yang memilih untuk menyusu di tempat awam (nursing in public). Sebab sesiapa yang pernah ada bayi pasti tahu yang bila bayi lapar dia tidak boleh menunggu lama untuk susu. Dua minit pun sudah terlalu lama, inikan pula mahu tawaf keliling pasaraya mencari bilik penyusuan, atau balik ke rumah. Dengan penciptaan pelbagai gajet penyusuan moden, penyusuan di tempat awam nampak lebih sopan dan tidak mendedahkan aurat. Sekarang sudah ada:
Tapi, ibu-ibu yang menyusu atau mengepam susu di tempat awam masih lagi mendapat layanan buruk dari masyarakat 🙁
Huh!?
Pada 7 Ogos 2011, sekumpulan ibu-ibu menyusukan telah mengadakan flash mob di hadapan KLCC untuk menyatakan protes mereka terhadap halangan dalam penyusuan ibu.
“Idea untuk berhimpun ini telah dicetus oleh beberapa insiden yang kebetulan berlaku di pusat membeli belah KLCC. Antara insiden yang telah berlaku adalah, dua orang ibu yang sedang memerah susu di surau KLCC telah diminta keluar oleh pegawal keselamatan yang bertugas di situ.
Ada juga insiden yang dilaporkan oleh seorang ibu sedang memerah susu di tandas KLCC (selepas beliau kehabisan usaha mencari-cari tempat yang sesuai untuk memerah susu), juga diminta berhenti melakukannya. Dalam setiap insiden yang berlaku ini, ibu merasakan hak mereka telah digugat.” – Nor Kamariah Mohamad Alwi, Perunding Laktasi susuibu.com (antara penganjur flash mob ini)
Jom kita layan video flashmob tersebut.
Kasihan kan? Nak bagi anak minum susu pun sampai dihalau, kan bagus kalau lebih banyak tempat-tempat awam yang cool pasal penyusuan susu ibu macam yang dipaparkan di FB page BF Friendly Malaysia ini.
Janganlah korang lupakan fungsi payudara yang sebenarnya…
Apapun sebenarnya isu penyusuan susu ibu ini bukanlah isu wanita saja. Kepada lelaki, jadilah seorang gentleman dengan menyokong usaha isteri, adik perempuan, kakak, kawan-kawan anda untuk memartabatkan penyusuan susu ibu (tapi sila jangan menyibuk dalam bilik penyusuan, okay?). Itukan anak, anak saudara, generasi seterus kita juga yang disusukan itu?
Ya, kami tahu payudara itu cantik dan membawa maksud sexual bagi kebanyakan orang. Kami tak nafikan itu. Tapi cubalah jangan lupa fungsi sebenar payudara – untuk membekalkan susu kepada bayi, mengenyangkan bayi, beri ketenangan kepada bayi.
Dan untuk orang ramai, jika ternampak ibu sedang bersusah payah mahu menyusukan bayi nya, cubalah offer tempat yang lebih selesa. Atau yang paling tidak, alihkanlah pandangan mata. Jika kita permudahkan urusan orang, suatu hari nanti Tuhan akan permudahkan urusan kita pula, kan?
- 1.2KShares
- Facebook1.2K
- Twitter3
- LinkedIn2
- Email3
- WhatsApp4