6 cara bersalin alternatif para ibu di Malaysia

(To read this article in English, click here!)

(Nota editor: Artikel ini adalah untuk penambahan ilmu tentang macam-macam jenis cara bersalin. Sila DAPATKAN NASIHAT PAKAR terlebih dahulu kalau nak tau lebih lanjut, hal-hal bersalin ni kena hati-hati!)

Zaman dulu-dulu, bab bersalin ni memang misteri. Kalau korang bukan ibu mengandung, mak bidan, atau orang-orang tua, jangan nak menyibuk bila diaorang bersembang. Konpem kena halau. Dah la tu, macam-macam cerita seriau kita dengar pasal proses bersalin, siap ada hantu-hantu yang dedicated lagi – pontianak dan penanggal!

Mujurlah sekarang ni kesedaran dah makin berkembang. Kita ada kelas antenatal (persediaan sebelum bersalin) dan makin banyak suami yang duduk sebelah isteri ketika bersalin (pengsan ke tak itu lain cerita). Cara sembang pun dah lain. Kalau dulu kita dok tanya, “Normal ke C-section?” Tapi sekarang ni kalau jawab ada extra pulak, “Bersalin normal, tapi dalam air. Kelass gitu!”

Kalau pun korang takde member yang glemer macam ni, at least mesti korang ada terbaca pasal selebriti seperti isteri Angkasawan Negara Dr. Halina Yunos dan pelakon hot Diana Daniell yang kedua-duanya bersalin dalam air, kemudian Kate Middleton yang diberitakan menggunakan teknik hypnobirthing, serta macam-macam lagilah jenis kaedah bersalin alternatif yang tengah viral di media sosial.

Jadi kali ini, jom kita terjah trend-trend bersalin tersebut:

1. Kelahiran tenang (gentle birth)

Sama sekali tidak tenang. Gambar dari filem Knocked Up
Sama sekali tidak tenang. Gambar dari filem Knocked Up

Gentle birth adalah kelahiran yang memberikan rasa tenang, selesa dan gembira kepada ibu, bayi dan keluarga.

Hah, bersalin dengan tenang? Ko biar betul. Bukan ke biasanya wad bersalin tu kelam kabut, si ibu melolong macam orang gila, doktor dan nurse semua menyorak macam dalam stadium bola – “Ok, tahan nafas. Now, PUSSHHHHHH!!! Sekali lagi 1, 2, 3 PUSSHHHHHH!!” Bila baby dah keluar “Yeh!!! GOALLLL!!”

Tak semestinya.

Kami menemuramah Puan Ruzanna Abdul Rahman CBE (ChildBirth Educator) HypnoBirthing dan AMANI Birth untuk korek lebih dalam tentang kelahiran yang tenang ini.

“Gentle birth bertujuan menyediakan bakal ibu bapa dengan ilmu yang secukupnya supaya mereka dapat membuat keputusan yang terbaik; serta akan bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kegembiraan ibu, bayi dan ayah. Tidak kiralah samada ianya kelahiran normal atau pun secara pembedahan. Ia melibatkan persekitaran yang membantu dan menghormati keputusan ibu supaya bayi dan ibu sihat dan selamat, dan juga memberikan pengalaman bersalin yang positif, tenang dan tidak traumatik”

Biasanya ibu-ibu yang mempraktiskan kelahiran tenang ini akan menyediakan ‘birth plan’ kepada doktor mereka dan meminta kurang atau tiada campurtangan dari kakitangan perubatan ketika bersalin. Antaranya, mereka tidak mahu :

  • pemeriksaan faraj (untuk periksa sudah berapa besar bukaan)
  • posisi bersalin lithotomy (berbaring)
  • episiotomy (potongan di faraj)
  • sebarang jenis penahan sakit (epidural, gas entanox, pethidine dsbg)
  • pencepat kelahiran (induction)
  • potong tali pusat terlalu awal

Untuk setiap permintaan ibu tersebut, ada rasional di sebaliknya. Contohnya, ibu lebih mudah bersalin jika dalam posisi menegak (mencangkung, duduk, merangkak). Ini kerana, tulang coccyx (tulang tongkeng) bebas bergerak menyebabkan bukaan semakin luas dan graviti dapat membantu bayi keluar. Dan ada juga yang berpendapat penggunaan penahan sakit meningkatkan risiko untuk pembedahan c-section.

Boleh lah dikatakan yang kesedaran tentang kelahiran tenang inilah yang sebenarnya mencetuskan trend bersalin lain yang akan kita bincangkan sekejap lagi.

2. Kelahiran dalam air (waterbirth)

Errr... silap gambar ni
Gambar dari jokideo.com

Soalan pertama yang bermain dalam fikiran kami bila pertama kali dengar pasal bersalin dalam air ialah “Tak lemas ke baby tu?”. Sebenarnya, bila bayi lahir dalam air, sistem pernafasannya masih lagi dalam mod ‘dalam rahim’ sehinggalah bayi diangkat keluar, barulah paru-paru nya mula berfungsi.

Antara sebab semakin ramai ibu memilih untuk bersalin dalam air adalah kerana:

  • Ibu yang sarat mengandung biasanya rasa diri sendiri macam ikan paus kan? Nak bergerak pun susah dengan perut yang memboyot. Jadi, daya apungan dalam air tu akan membantu ibu bergerak ke posisi bersalin yang dia paling selesa.
  • Ibu lebih chillex berendam dalam air. Keadaan yang tenang memudahkan proses bersalin
  • Mengurangkan trauma perineal (luka di faraj) dan mengelakkan episiotomy

Puan Nina, 32, memutuskan untuk bersalin dalam air untuk anaknya yang kedua setelah membaca pengalaman ibu-ibu yang pernah mencuba kaedah ini. Bila ditanya apakah perbezaan dengan pengalaman bersalin sebelum ini:

“Kelahiran kali ni rasa lebih tenang, sakit bersalin lebih mampu ditahan. Bukanlah semata-mata kerana water birth tapi juga kerana gentle birth dan natural birth. Semasa kelahiran pertama saya di induce (prosedur perubatan dilakukan untuk mempercepatkan bersalin). Maka kesakitannya terlalu kuat. Contraction berlaku tanpa henti sampai tiada masa untuk berehat”

Puan Nina bersalin di Hospital Pantai Bangsar, antara hospital yang menawarkan bersalin kaedah ini (Selain Hospital Pantai Cheras) dan menurut beliau, jika ada peluang beliau tidak akan teragak-agak lagi bersalin dengan cara ini.

3. Hypnobirthing

Gambar dari dailymail.co.uk
Gambar dari dailymail.co.uk

Hypnobirthing ? Erkkk.. kena pukau masa bersalin ke? Lebih kurang macam tu lah. Kaedah yang dipelopori oleh Marie Mongan ini adalah falsafah dan teknik yang mendidik bakal ibu-bapa tentang kelahiran yang tenang dan teknik mengawal kesakitan. Antara perkara yang di ajar adalah hipnosis-diri (self-hypnosis), ketenangan, teknik bernafas istimewa, visualisasi, penegasan (affirmation), dan pendidikan berkenaan kelahiran. Bila si ibu tenang, proses bersalin itu menjadi lebih mudah dan kesakitan dapat diminimakan. Dalam sesetengah kes, ada jugak yang tidak merasakan kesakitan bersalin sebaliknya siap boleh rasa orgasm lagi! Siapa sangka, proses keluarkan bayi sama nikmat macam proses masukkan bayi kan? Haha 😉

Menurut Puan Ruzanna Abdul Rahman CBE ChildBirth Educator) HypnoBirthing dan AMANI Birth

“Ibu bapa digalakkan belajar Hypnobirthing, meskipun mereka berisiko tinggi dan akhirnya akan menjalani pembedahan C-section… Teknik yang dipelajari dalam program Hypnobirthing ini boleh juga digunapakai ketika ibu dalam proses penyembuhan selepas bersalin. Ramai yang memandang ringan waktu postpartum (selepas bersalin) sedangkan ramai yang menghadapi masalah yang lebih besar selepas bersalin berbanding kepayahan bersalin itu sendiri. Waktu berpantang yang mencabar dan kemurungan selepas bersalin contohnya. Pengetahuan tentang hypnobirthing ini dapat membantu pemulihan bagi ibu-ibu yang baru menjalani pembedahan C-section”

Kalau korang berminat untuk membaca kisah-kisah bersalin pasangan Malaysia yang telah mengikuti kelas hypnobirthing, boleh baca di sini. Jika mahu dapatkan info lanjut tentang kelas Hypnobirthing, boleh ke Facebook Page mereka.

4. Lotus birth

Gambar dari unfoldinglotus.com
Kat sebelah baby tu adalah uri. Gambar dari unfoldinglotus.com

Amalan biasa masyarakat kita adalah memotong tali pusat sejurus selepas bayi lahir kan? Kemudian bila placenta (uri) keluar, uri itu akan ditanam/dihapuskan. Lotus birth adalah amalan TIDAK memotong tali pusat, sebaliknya tali pusat dibiarkan bersambung dengan placenta (uri) yang sudah dikeluarkan dari ibu. Uri itu diletakkan dalam bekas yang berangin, diletakkan garam dan serbuk herba supaya ia cepat kering dan tidak busuk. Bila tali pusat itu kering dan tertanggal sendiri (biasanya mengambil masa 2-10 hari), barulah uri tadi ditanam.

Pengamal lotus birth percaya yang bayi akan rasa lebih tenang sekiranya tali pusatnya tidak dipotong. Mereka juga percaya jika tali pusat bayi dipotong terlalu awal, darah yang sepatutnya dipam masuk ke dalam bayi akan berkurang kerana ianya masih berada dalam plasenta (uri) dan dalam tali pusat yang dipotong itu

Di Malaysia, golongan yang mempraktiskan lotus birth biasanya mereka yang bersalin di rumah. Tetapi sejak akhir-akhir ini sudah ada juga doktor yang membenarkan lotus birth dibuat di hospital.

5. Roda kelahiran Roma (Roma birth wheel)

Gambar dari kwak-clinic.co.kr
Gambar dari kwak-clinic.co.kr

Nampak canggih gila benda alah ni kan? Macam latihan angkasawan pun ada. Ini sebenarnya adalah sejenis ‘kerusi bersalin’ yang diberikan nafas baru. Kerusi bersalin ni sebenarnya dah wujud semenjak Tamadun Mesir lagi. Ia memudahkan wanita bersalin dalam posisi duduk, mencangkung, berdiri dan macam-macam lagi.

Susah nak bayangkan? Mai layan sat video ni supaya lebih faham.

Seperti yang diterangkan di atas, posisi SELAIN daripada berbaring sebenarnya adalah lebih memudahkan proses bersalin. Ini kerana bukaan jalan bertambah sebanyak 30% jika ibu dalam posisi menegak.

Puan Maxveen Sandhu berkongsi pengalaman beliau bersalin menggunakan roda Roma ini.

“Saya dinasihatkan oleh doktor di Australia (tempat saya menetap hingga usia kandungan saya 7 bulan) supaya bergerak ketika bersalin (active birth). Hanya sebilangan kecil saja doktor dan hospital di Malaysia yang menyokong perkara itu. Setelah membuat tinjauan, saya berjumpa seorang doktor di Hospital KPJ Ampang Putri yang menyokong ‘active birth’ dan kebetulan beliau pula telah membawa masuk Roda Roma ini ke Malaysia. Saya memilih alat ini sebagai bantuan bersalin kerana ia memudahkan saya bergerak menukar posisi ketika bersalin. Boleh duduk, mencangkung, berdiri, dan walaupun berbaring atau separa-baring ia tidak beri tekanan kepada belakang badan atau menyempitkan laluan bayi keluar. Saya juga boleh berayun kiri ke kanan atau dalam bulatan ketika melayan sakit bersalin. Baringkan ia ketika saya letih, dan tegakkan ia ketika mahu meneran keluar bayi dalam keadaan duduk”

Untuk makluman, setakat ini di Malaysia hanya Hospital KPJ Ampang Putri yang menyediakan Roda Roma sebagai bantuan bersalin.

6. Kelahiran di rumah (homebirth)

Gambar dari pinterest.com
Gambar dari pinterest.com

Bersalin di rumah ni terbahagi kepada dua, pertama sekali adalah dengan bantuan pakar perubatan (assisted homebirth). Serupa macam zaman dulu-dulu bila kita panggil mak bidan datang ke rumah. Sekarang ni dah berkurang kerana semakin mudah untuk ke hospital dan Kementerian Kesihatan tak cukup kakitangan untuk menyambut bayi di rumah.

Yang kedua pulak adalah tanpa bantuan pakar peruabatan (unassisted homebirth), dan kini makin mengundang kontroversi. Semakin ramai yang berani berkongsi kisah bersalin mereka dan diviralkan di internet.

Puan Iza, 32, memilih untuk bersalin di rumah kerana pengalaman buruknya bersalin di hospital.

“Ketika bersalin anak pertama, saya meminta diberi epidural supaya saya tak rasa sakit. Tetapi entah apa silapnya, saya masih merasa kesakitan yang teramat. Proses bersalin saya mengambil masa yang sangat lama. Saya diberi ubat penahan sakit dan ia membuatkan saya mamai. Saya juga tidak dibenarkan bergerak, terpaksa berbaring sahaja melayan kesakitan kerana alat pengesan degupan jantung bayi sentiasa terpasang pada saya”

Antara sebab lain ibu-ibu memilih untuk bersalin di rumah kerana malu mendedahkan aurat kepada pakar perubatan, mahu memilih bersalin normal selepas C-section anak sebelumnya (VBAC), mahu rasa tenang tanpa campurtangan perubatan dan tidak kurang pula yang tidak sempat ke hospital.

Kontroversi berlaku apabila tidak semua yang bersalin di rumah ini berakhir dengan kisah gembira. Ada beberapa kes kematian melibatkan ibu atau bayi yang dipandang serius oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dengan cara bersalin alternatif, makin ramai yang sedar akan gentle birth

Awww.. Gambar dari Pixabay
Subhanallah.. Comel kan baby ni? Share artikel jika anda bersetuju :p  – penpurplepenjingga Gambar dari Pixabay

Sekarang dah banyak hospital swasta yang menawarkan cara bersalin yang alternatif. Kesedaran tentang kelahiran secara tenang menyebabkan ramai ibu yang merasakan proses bersalin itu bukanlah satu benda yang sangat menakutkan, sebaliknya sesuatu yang natural.

Tetapi kena ingat, bukan semua kelahiran itu berisiko rendah. Jika mahu cuba cara bersalin alternatif ini, pastikan ilmu cukup dan ianya dipantau oleh pakar perubatan bertauliah.

NAH, BACA:
6 alternatives to traditional births practiced by Malaysian women
About Rina Sadon 6 Articles
I look like the typical mom next door. Love baking, sewing projects, taking care of my family. But I have a secret exciting life too. I'd tell you but then I'd have to kill you ;)