Bahasa Malaysia Culture Law Politics

5 kuasa ajaib yang Najib boleh guna dengan undang-undang baru ni

(Baca artikel asal dalam Bahasa Inggeris di sini.)

Dah tentulah kami bercakap pasal undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang sekarang ni tengah panas kat media sosial, lagi panas daripada video Psy yang baru.

Diambil daripada The Malaysian Insider. Klik untuk baca berita penuh.

Diambil daripada Twitter.

Diambil daripada Facebook.

Kalau korang belum dengar lagi, meh sini kami nak cerita. Tapi yang lemah semangat tu kena jaga-jaga sebab apa yang kami nak bagitau ni ngeri belaka.

Sama seperti Akta Pencegahan Keganasan yang keluar secara tiba-tiba April lalu, MKN juga muncul secara tergesa-gesa di sidang parlimen, sehari sebelum penggulungannya pada 3 Disember. Ini memberi masa yang terlalu singkat untuk ahli parlimen meneliti dan membahasnya, apatah lagi rakyat yang tak sempat tahu-menahu langsung akan undang-undang baru tersebut.

Sekarang ni ianya telah pun diluluskan. Apalah kesannya nanti?

Kami telah mendapatkan satu salinan undang-undang tersebut (terima kasih Ooi Heng dari KPRU) serta bercakap dengan Eric Paulsen dari Lawyers for Liberty, Dobby dari SUARAM, dan Azira Aziz dari UNDI Malaysia… dan setakat ini, memang cuak jugak mendengarnya sebab undang-undang tersebut memberi Najib – atau mana-mana Perdana Menteri kelak – kuasa tidak terbatas yang akan memberi kesan pada rakyat seperti kita, antaranya:

1. Mereka boleh mengisytiharkan kawasan darurat di Selangor, ataupun di kedai mamak yang korang selalu lepak

Raja Rimba versi remix. Imej asal daripada Tumblr.

Waktu kecik-kecik dulu, selalu tak main cop tempat duduk? Dengan MKN, bukan je tempat duduk, mereka boleh cop mana-mana kawasan sekalipun dan isytiharkannya sebagai kawasan keselamatan di mana undang-undang darurat akan dilaksanakan.

Berapa luas agaknya liputan kawasan ini? Jom baca rang undang-undang di bawah:

(3) Suatu perisytiharan yang dibuat di bawah subseksyen (1) hendaklah, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dibuat sebelum itu menurut kuasa perisytiharan itu, terhenti berkuat kuasa apabila habis tempoh enam bulan dari tarikh perisytiharan itu mula berkuat kuasa.

(4) Walau apa pun subseksyen (3), suatu perisytiharan yang berkuat kuasa boleh diperbaharui oleh Perdana Menteri dari semasa ke semasa bagi apa-apa tempoh, yang tidak melebihi enam bulan pada sesuatu masa, sebagaimana yang dinyatakan dalam perisytiharan itu.

(5) Suatu perisytiharan yang dibuat di bawah subseksyen (1) dan pembaharuan perisytiharan yang dibuat di bawah subseksyen (4) hendaklah disiarkan mengikut apa-apa cara yang difikirkan perlu oleh Perdana Menteri bagi memberitahu orang awam mengenai perisytiharan itu.

Memang tiada penjelasan pun akan berapa luas kawasan keselamatan ini boleh diisytiharkan, jadi kami hanya boleh simpulkan yang ianya boleh jadi sekecik-kecik bilik stor belakang rumah korang sehinggalah sebesar-besar satu Malaysia!

Dan walaupun kawasan keselamatan ini ada tarikh luput selama 6 bulan, PM dibenarkan melanjutkannya selama 6 bulan lagi seberapa banyak yang dia mahu. Senang kata, takde tarikh luput pun takpe.

Emperor Palpatine. Imej asal daripada Giphy.

Sebarang pengisytiharan atau lanjutan hendaklah disiarkan melalui apa-apa cara yang PM fikir perlu untuk memberitahu orang awam – mungkin RTM, mungkin Cilisos, mungkin juga dengan nota Post-It.

postit-darurat

2. Mereka boleh mengisytiharkannya atas apa-apa sebab yang “mengancam” negara

Steve “Batu Sejuk” Austin. Imej daripada Tumblr.

Bak kata Setongkol, “that’s the bottom line cause Stone Cold said so,” MKN pun boleh guna apa-apa alasan untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan selagi mereka boleh menafsirkannya sebagai sebuah ancaman, seperti yang tertera dalam rang undang-undang ini:

18. (1) Jika Majlis menasihati Perdana Menteri bahawa keselamatan di dalam mana-mana kawasan di Malaysia diganggu atau diancam dengan serius oleh mana-mana orang, perkara atau benda yang menyebabkan atau berkemungkinan untuk menyebabkan bahaya yang serius kepada orang ramai, atau bahaya yang serius kepada wilayah, ekonomi, infastruktur utama negara Malaysia atau apa-apa kepentingan Malaysia yang lain, dan menghendaki tindak balas negara dengan serta-merta, Perdana Menteri boleh, jika difikirkannya perlu demi kepentingan keselamatan negara, mengisytiharkan secara bertulis kawasan itu sebagai kawasan keselamatan.

Masalahnya, penjelasan tersebut terlalu kabur hingga membolehkan MKN menggunakan apa sahaja pengertian yang mereka mahu. Contohnya, kalau Bersih ingin berarak di luar Bank Negara, adakah ia dikira bahaya terhadap ekonomi? Dan apa benda sebenarnya “kepentingan Malaysia yang lain”?

Undang-undang perlulah sejelas yang boleh tanpa ruang bagi sebarang keraguan supaya ia takkan disalah guna. Sebagai perbandingan, Eric merujuk kepada Artikel 149 dan 150 dalam Perlembagaan Persekutuan (yang menjelaskan pengisytiharan kecemasan) yang lebih jelas pengertiannya bagi mengelakkan salah tafsir.

Jadi, siapa sebenarnya “Majlis” yang menasihati Perdana Menteri ini? Malaysiakini ada menyediakan sebuah infografik (tapi dalam infografik ni mereka tertinggal ketua tentera, kalau tak dah lengkap dah).

Klik untuk imej penuh.

Klik untuk imej penuh.

Pendek kata, Perdana Menteri lah yang membuat keputusan akhir setelah dinasihatkan Majlis.

3. Mereka boleh rampas apa sahaja… korang pun boleh kena serkup

GIF tak dapat disiarkan kerana terlalu ganas.

Dalam Mortal Kombat, Shang Tsung boleh rampas jiwa sesiapa sahaja yang telah kalah. Dengan MKN, kakitangan kerajaan yang ditugaskan seperti polis dan tentera boleh merampas apa sahaja hak kebebasan korang. Menurut kata Dobby:

“Ini akan membuatkan POTA pun nampak macam undang-undang demokratik liberal” – Dobby, SUARAM, dalam temu ramah bersama CILISOS.

Hak kebebasan korang adalah hak sebagai rakyat yang telah tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuklah hak bersuara dan hak memiliki hartanah. Namun dengan kawasan keselamatan, macam-macam boleh berlaku termasuklah:

  • Korang boleh dipaksa keluar dari rumah dan pergi ke kawasan yang ditentukan kerajaan
  • Mereka boleh melaksanakan perintah berkurung
  • Mereka boleh menggeledah rumah atau kereta korang tanpa waran
  • Mereka boleh menahan/menyoal siasat korang pada bila-bila masa tanpa waran
  • Mereka boleh menghalang korang daripada meninggalkan atau memasuki kawasan keselamatan
  • Mereka boleh merampas sebarang hak milik peribadi untuk digunakan (contohnya menjadikan rumah korang sebagai pusat kawalan).

Dan ada juga kemungkinan mereka boleh merobohkan rumah korang! Kami kata ‘kemungkinan’ sebab ianya tak jelas samada MKN merujuk kepada bangunan tak berpenghuni sebab takde orang duduk (contohnya rumah yang sedang dijual) ataupun sebab korang baru kena halau. Korang boleh cuba tafsirkannya sendiri:

Kuasa untuk memerintahkan pemusnahan bangunan tertentu yang tidak dihuni

33 (1) Jika di dalam mana-mana kawasan keselamatan mana-mana bangunan atau struktur ditinggalkan tanpa berpenghuni oleh sebab kuat kuasa mana-mana perintah yang dibuat di bawah Bahagian ini, Pengarah Operasi atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Pengarah Operasi boleh jika dia mendapati—

(a) ada kemungkinan bahawa bangunan atau struktur itu akan, jika dikekalkan, digunakan oleh orang yang berniat, atau hampir, untuk bertindak atau telah baru-baru ini bertindak dengan cara yang memudaratkan keselamatan negara atau oleh mana-mana orang lain yang mungkin akan melindungi mana-mana orang demikian; dan

(b) adalah tidak praktik untuk menghalang penggunaan sedemikian dengan apa-apa cara yang lain, memusnahkan atau membenarkan pemusnahan bangunan atau struktur itu.

Sekurang-kurangnya ada jugak la fasal yang menyatakan korang AKAN diganti rugi sekiranya mereka merampas atau memusnahkan sebarang harta. Okay lah tu kan, boleh jugak la korang mintak tolong pecahkan dinding untuk besarkan rumah.

NAH, BACA:
5 strange things about Najib's step-family

Kalau korang tak mematuhi perintah, korang boleh didenda sehingga RM 5 ribu atau hukuman penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya. Jadi, erm, memang takde pilihan lah.

4. Kalau korang mati dalam kawasan keselamatan, penyiasatan tak perlu dijalankan

The Hunger Games. Imej daripada Tumblr.

Kami guna The Hunger Games sebab ia lebih popular, tapi situasi ni lebih mirip dengan Battle Royale –  versi Jepun yang asal. Mungkinlah korang tak perlu bergaduh antara satu sama lain, namun kawasan keselamatan menjadikan undang-undang biasa tak boleh diguna pakai, dan tiada siapa akan dipertanggungjawabkan kalau korang cedera mahupun terbunuh sewaktu mereka “menjalankan tugas”.

Kuasa untuk mengetepikan inkues, dsb.

35. Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis, di dalam kawasan keselamatan—(a) seseorang Majistret atau koroner boleh mengetepikan pengadaan siasatan kematian atau inkues ke atas mayat mana-mana anggota Pasukan Keselamatan yang bertugas; dan

(b) jika Majistret atau koroner yang bertanggungjawab bagi pengadaan siasatan kematian atau inkues ke atas mayat mana-mana orang berpuas hati bahawa orang itu telah terbunuh di dalam kawasan keselamatan akibat operasi yang dijalankan oleh Pasukan Keselamatan bagi maksud menguatkuasakan mana-mana undang-undang bertulis, Majistret atau koroner itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh mengetepikan pengadaan siasatan kematian atau inkues ke atas mayat orang itu.

Mengikut undang-undang di atas, sekiranya Masjistret atau koroner berkeputusan yang seseorang itu dibunuh dalam operasi, mereka boleh mengetepikan inkues atau penyiasatan ke atas kematian tersebut.

Ini mungkin munasabah dalam situasi perang seperti krisis Lahad Datu di mana pihak berkuasa Malaysia boleh dipertanggungjawabkan sekiranya seorang militan Sulu terbunuh di atas tanah Malaysia.

Namun dengan MKN, kerana kaburnya perkara-perkara yang dikategorikan sebagai ‘ancaman’, ia boleh disalahgunakan ke atas apa-apa hal sekalipun; dan ia juga mengetepikan kebertanggungjawaban kerana jika mereka mahu, mereka mampu menembak korang dalam rumah korang sendiri dan menuduh korang yang menyerang mereka dahulu.

5. Tiada siapa yang boleh menghentikannya, mahupun Agong sekalipun!

Ji Kao disaluti badan emas yang mungkin bernilai RM 2.6 billion.

Tak ubah seperti Ji Kao yang meresap kuasa Ifrit Utama dalam Alam Perwira, Perdana Menteri juga hampir memiliki kuasa tidak terbatas dan hampir tiada apa boleh menghalangnya dengan terlaksananya undang-undang MKN ini.

Untuk mengisytiharkan darurat, Perdana Menteri perlu mendapatkan kelulusan Agong terlebih dahulu berdasarkan Seksyen 149 dan 150 dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun dengan MKN, darurat kecil boleh diisytiharkan tanpa perlu kebenaran Agong. Pada masa yang sama, sesiapa yang ditugaskan oleh MKN diberi kekebalan dari segi undang-undang.

Perlindungan terhadap guaman dan prosiding undang-undang

38. Tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap Majlis, mana-mana jawatankuasa, mana-mana anggota Majlis atau jawatankuasa, Pengarah Operasi, atau mana-mana anggota Pasukan Keselamatan atau kakitangan Entiti Kerajaan yang lain berkenaan dengan apa-apa perbuatan, kecuaian atau keingkaran yang dilakukan atau ditinggalkan olehnya dengan suci hati, atas sifat yang sedemikian.

Hanya ada dua cara kawasan keselamatan boleh dibatalkan – bila Perdana Menteri membatalkannya, atau bila Parlimen mengundi untuk membatalkannya. Masalahnya… pertama sekali, Parlimen hanya bersidang tiga kali setahun. Kedua, tak semua ahli parlimen akan mengundi untuk pembatalan tersebut, tak macam bila kebanyakan ahli parlimen mengundi untuk meluluskan rang undang-undang ni… *ehem*

Dan ada kemungkinan ketiga… Kalau Parlimen mengadakan persidangan tergempar sekalipun, MKN boleh mengisytiharkan Parlimen sebagai kawasan keselamatan! Kepala otak meletup! Terima kasih Dobby!

Imej dari Giphy.

Adakah Malaysia kini dah jadi sebuah negara diktator?

Kami tak nak pejabat Cilisos diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan pula, jadi kami takkan jawab. Apa kata korang yang bagitau kami?

Kami sedar akan penjelasan rasmi MKN yang bertujuan menangani ancaman seperti krisis Lahad Datu dan ISIS. Namun ianya terlalu mudah disalah guna seperti SOSMA yang dijanji takkan diguna bagi tujuan politik tetapi masih dikenakan ke atas bekas pemimpin UMNO dan peguamnya yang membuat aduan polis terhadap Najib.

Jadi apatah lagi ada bila undang-undang yang membolehkan Perdana Menteri memintas Perlembagaan Persekutuan, malah Agong sendiri?

Namun kalau korang tak bersetuju dengan MKN, masih ada sinar harapan

RUU ini masih perlu melalui Senat dan diperkenankan oleh Agong. Walaupun selalunya perkara-perkara ni sekadar cukup syarat je, dah ada tanda-tanda yang tak semua orang ikut telunjuk PM, dan kalau korang tak setuju, suarakan kepada mereka. Azira cadangkan supaya Rakyat melobi ahli-ahli politik BN yang asalnya menyokong undang-undang ini supaya memansuhkannya kembali.

Korang juga boleh menandatangani surat rayuan di Change.org yang akan dihantar ke 66 senator Dewan Negara untuk meyakinkan mereka yang ini bukanlah apa yang diminta oleh rakyat. Tandatangan di sini.

Lawyers For Liberty, SUARAM, dan beberapa lagi NGOs telah mumulakan kempen #TakNakDiktator. Nak join, ini perkara yang perlu korang buat:

  • Guna hashtag #TakNakDiktator kat Twitter dan Facebook
  • Korang boleh guna imej TakNakDiktator sebagai gambar profail atau cover photo. Dapatkannya di facebook.com/taknakdiktator/.
  • Tandatangan petisyen Change.org yang baru kami sebut tadi. Ini pautannya.

Kalau korang bersemangat waja dan ingin buat lebih untuk negara, hantarkan surat kepada ahli Parlimen menyatakan betapa korang tak setuju dengan RUU ini dan juga untuk mengingatkan ahli politik BN mereka juga boleh terkena dengan RUU ini sendiri, melainkan MKN terang-terang akan mengecualikan ahli BN (boleh je kalau mereka nak). Ini panduan menulis kepada ahli parlimen (dalam Bahasa Inggeris).

Namun semua ini harus dilakukan SEKARANG. Memanglah kita boleh je undi keluar kerajaan dalam pilihanraya yang akan datang, tetapi…

…apa je yang menghalang mereka daripada mengisytiharkan kawasan keselamatan sewaktu pilihanraya tersebut?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Here at CILISOS, we believe that the only way to consume information is with a serious dose of flavour. Our aim is to make mundane things like news and current events entertaining, and informative, hopefully in equal measure. Read More

The Serious Legal Stuff

GOT A QUESTION FOR US?

Cilisos Media Sdn. Bhd. Copyright © 2020. All rights reserved.

To Top
Send this to a friend