Boleh ke Najib guna Akta Diktator utk ambil tentera drpd Agong?

(Read original article in English.)

Dah berbuih air liur kami bercerita pasal Akta MKN semenjak ia keluar secara mengejut baru-baru ni. Kami ada terangkan macam mana korang boleh terjejas dengan Akta MKN ni, dan juga kelemahan dalam sistem Parlimen kita hinggakan undang-undang macam ni boleh lepas.

Baru je kami nak rehat dan mengeteh sekejap, TakNakDiktator (kumpulan NGO yang menentang MKN) berjumpa dengan ahli Dewan Negara dan menurut seorang pesara tentera, Akta MKN ni sangat bercanggah dengan perlembagaan negara kita sebab ia boleh mengambil-alih angkatan tentera daripada Agong!

Parliament
Sidang akhbar selepas mesyuarat tamat.

Bagi yang tak tahu, Perlembagaan Persekutuan ada menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah pemerintah tertinggi angkatan tentera. Jadi macam mana Perdana Menteri boleh ambil-alih kuasa ni pulak dengan Akta MKN?

(Nak dijadikan cerita, Leftenan Kolonel ini juga dihalang daripada berucap di sebuah forum mengenai Akta MKN baru-baru ini.)

 

Ingat tak bila kita kecoh pasal “Majoriti 2/3 BN?”

Diambil dari blog Lim Kiat Siang.

Kebanyakan kerajaan berfungsi berdasarkan prinsip majoriti. Contohnya kalau sorang MP kat Dewan Rakyat mencadangkan undang-undang yang mengarahkan semua kereta kat Malaysia ni kena cat biru, ia perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya 51% sebelum dihantar ke Dewan Negara.

Namun, ada klausa dalam Perlembagaan Persekutuan yang MEMERLUKAN dua pertiga undian majoriti dalam Parlimen untuk membuat sebarang perubahan dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Senang kata, ini bagi melindungi Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Hapekebendelah Perlembagaan Persekutuan ni eh, apa yang penting sangat? Dan apa pasal dia perlu melindungi diri sendiri?

 

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang paling tinggi

Semua orang mesti dah hafal Rukun Negara yang korang ulang tiap kali perhimpunan sekolah (kalau tak ingat memang layak kena lempang laju-laju) tapi ramai ke yang faham erti baris ketiga, “Keluhuran Perlembagaan”?

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang paling tinggi (luhur) di Malaysia yang menggariskan macam mana negara kita ditadbirkan, serta apa tanggungjawab dan hak bagi kerajaan dan juga rakyat. Banyak benda yang kita ambil mudah sekarang ni telah ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan, daripada hak untuk memiliki apa saja harta yang korang beli (hak terhadap harta) sampailah ke hak untuk lepak kat mamak sampai 2 pagi (kebebasan bergerak). Baca dokumen penuh kat sini.

Semua undang-undang dan sistem mahkamah negara perlulah berdasarkan Perlembagaan. Sebab tu lah sesetengah undang-undang seperti Akta Hasutan dikatakan bercanggah dengan perlembagaan… sebab bila diteliti, memang ada hak asas korang sebagai Rakyat Malaysia yang dinafikan.

Boleh la kata sesiapa yang mengawal Perlembagaan Persekutuan juga mengawal negara sebab mereka boleh mebuat perubahan melalui undi majoriti dua pertiga yang memihak kepada mereka. Kena ingat yang Barisan Nasional mempunyai majoriti dua pertiga sejak 50 tahun yang laluhanya kalah pada Pilihanraya Umum 2008 dan 2013.

Perlembagaan Persekutuan diubah dari masa ke semasa supaya ia dapat disesuaikan mengikut keperluan rakyat pada waktu tersebut. Uniknya sistem perlembagaan kita berbanding negara-negara barat ialah kita mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, yang bermaksud…

 

Yang Di-pertuan Agong sangat penting dalam Perlembagaan Persekutuan

agong14_02
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Imej diambil dari m Kuala Lumpur Post.

Agong sebenarnya masih merupakan pemerintah tertinggi negara tapi dengan kuasa yang telah dihadkan Perlembagaan. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan adalah hasil daripada perbincangan antara keluarga diraja dan pembentukan Tanah Melayu yang merdeka. Sungguh, tak tipu. Sampai kan nak print Perlembagaan Persekutuan ni sekalipun kena minta izin dulu daripada Agong.

Ini kerana Baginda adalah merupakan pemimpin yang berprinsip dan takkan korup bagi menjaga hak rakyat. Baginda tak ada kaitan dengan sebarang parti politik, dan hanya ingin menjaga kebajikan negara.

Memanglah sekarang kerajaan (Perdana Menteri dan hulubalangnya) yang menguruskan negara, tapi secara rasminya mereka perlu mendapat izin Agong sebab tandatangan Baginda diperlukan sebelum apa-apa cadangan di Parlimen dilaksanakan, dan Baginda juga boleh memecat mana-mana menteri kecuali PM, dan banyak lagi. Malah, betapa pentingnya Agong ni sampai nama Baginda disebut hampir di setiap klausa – Agong disebut sebanyak 430 kali berbanding PM yang hanya disebut sebanyak 59 kali.

Yang warna kuning tu semua pasal Agong.

Namun pada 1984, Che Det mengubah Pelembagaan Persekutuan dan mengehadkan kuasa Agong dengan TIDAK membenarkan baginda untuk MENOLAK sebarang cadangan daripada Parlimen, serta banyak lagi perubahan lain.

 

Dan Akta MKN ini akan mengambil LEBIH BANYAK kuasa Agong!

Angkatan Tentera Malaysia bersumpah setia kepada Raja dan Negara, bukannya Kerajaan. Sebab itulah Agong yang sepatutnya menjadi Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera [bukannya orang lain]. – Datuk Ambiga, dalam wawancara bersama CILISOS.

Kami dah cerita macam mana Akta MKN senyap-senyap mengambil-alih kuasa Agong untuk mengisytiharkan Kawasan Kecemasan, macam mana pulak dengan angkatan tentera? Kalau korang rasa guna trak FRU sembur peserta Bersih hari tu macam melampau, cuba bayangkan kereta kebal turun KL penuh dengan askar bersenapang M16.

Gempak macam ni ha. Tapi tak gempak sangat la kalau korang yang kena. Imej dari Merdeka.com

Menurut Datuk Ambiga (yang kini sebahagian daripada TakNakDiktator), fungsi utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah untuk membela negara daripada ancaman luar. Dan sebab kita tak nak kereta kebal digunakan bila meriam air dah cukuplah yang ATM perlu beroperasi bawah pemerintahan yang bebas tak kira siapa yang memegang tampuk kerajaan; BN ataupun pihak pembangkang.

Untuk mengelakkan salah guna atas tujuan politik, Perlembagaan Persekutuan terang-terang menyatakan dalam Perkara 41:

Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Pemerintah Tertinggi angkatan tentera Persekutuan.

Tambahan lagi, pentadbiran Angkatan Tentera diletakkan di bawah Majlis Angkatan Tentera (Perkara 137), yang kebanyakannya terdiri daripada ahli tentera yang dilantik oleh Agong.

Masalahnya dengan Akta MKN adalah ia meletakkan Angkatan Tentera di bawah arahan Pegawai Keselamatan yang dilantik MKN sendiri di mana ia diketuai oleh Perdana Menteri.

Agong dan Majlis Angkatan Tentera tidak disebutkan sama sekali. Ambiga merumuskan yang “kuasa ke atas Angkatan Tentera terletak di bawah Perdana Menteri.”

 

“Raja kita, selamat bertakhta.”

Baris akhir lagu Negaraku ni mungkin tampak tak bermakna bagi sesiapa yang menganggap Agong sebagai “simbol sejarah” dari zaman dulu kala ataupun hanyalah simbol kebanggaan negara seperti bendera kebangsaan.

Namun ia tak sepatutnya begitu.

Seperti yang dilihat dalam Perlembagaan Persekutuan, mulanya Agong mempunyai banyak tanggungjawab kepada negara berbanding sekarang. Hanyalah daripada perubahan yang dibuat ke atas perlembagaan yang menyebabkan kuasa dan tanggungjawab tersebut semakin tipis. Bukanlah nak menuding jari ke sesiapa kan, tapi memang besar kemungkinan ia disebabkan majoriti dua pertiga yang dipegang BN sejak 50 tahun yang lalu.

Imej dari from laman Facebook TakNakDiktator.

Artikel ni bukanlah pasal Anti-Najib, Anti-BN, sokong pembangkang atau apehal lagi lah. Ianya jauh lebih dalam daripada parti politik. Rang undang-undang ini melanggar Perlembagaan Persekutuan dan juga hak kita sebagai rakyat, yang baru-baru ini telah ditegur oleh Kesatuan Eropah dalam menyatakan kebimbangan mereka terhadap perlanggaran hak asasi manusia di Malaysia.

Sekarang ni, ia akan mengambil alih cebis-cebis terakhir kuasa yang dimiliki Agong. Apa yang korang tunggu lagi untuk MENENTANG Akta MKN ni?

NAH, BACA:
How bad do the floods need to be for GE15 to be postponed?
About MK Zainal 22 Articles
BM editor. Watch movies all day errday.