Bahasa Malaysia Business Politics

Alamak! Apa akan jadi pada duit Tabung Haji korang?

Baru-baru ni, kecoh bila bocornya surat daripada Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Aziz, yang memberi amaran bahawa rizab Lembaga Tabung (LTH) berada pada paras negatif.

Semenjak tu, macam-macam kritikan keluar, bukan je daripada orang ramai malah PAS dan AMANAH yang selalunya tak sekepala pun turut mengkritik. Blog tukang bocor dah tukang komen kena sekat, dan PM kita sedih sebab ramai yang mula keluarkan duit masing-masing.

Tak lama kemudian, LTH pun mengumumkan yang mereka mereka mampu bayar dividen dan bonus 2015 macam biasa, tapi masih banyak kritikan mengatakan yang rizab LTH bukan sahaja masih negatif, malah pelaburannya dah rugi sampai beratus juta.

surat-tabung-haji-3

Surat yang dibocorkan oleh Tabung Insider (sekarang ni dah kena block).

Ehhhh tunggu kejap, menatang ‘rizab’ ni apa benda? Kalau Tabung Haji takde duit, selamat ke duit korang nanti? Boleh lagi ke pergi haji?

Takpe, rileks. Bagi yang tak tau hujung pangkal cerita, moh kita perati hal ni satu-persatu. Oleh kerana surat tu tadi memang sah (menurut pengerusi LTH sendiri), kita akan gunakannya sebagai rujukan.

Mula-mula sekali, kita kena faham kenapa mula-mula wujudnya LTH ni…

Apa fungsi utama Lembaga Tabung Haji (LTH) ni sebenarnya?

Sikit-sikit lama pergi haji.. imej dari Reddit.

Sikit-sikit lama pergi haji.. imej dari Reddit.

LTH ditubuhkan oleh Ungku Aziz sebab nak tolong pakcik makcik pergi haji. Macam mana tu? Dengan menyimpan di LTH, pakej haji dikenakan subsidi sebanyak RM8910 untuk yang 1st time naik haji. Haa, kalau dulu pakcik makcik ni letak duit bawah bantal, sekarang dah boleh bubuh kat bank. Jadi tujuan utama kita bukak akaun LTH adalah untuk MENYIMPAN, bukan MELABUR (buat duit).

Tapi LTH ada menyatakan yang mereka menggunakan sistem perbankan Islam yang dikenali sebagai Wadi’ah Yad Dhamanah, yang mana ia:

  • Menjamin akan memulangkan jumlah simpanan yang penuh. Kalau korang simpan 10 ribu, TH kena pulangkan 10 ribu balik.
  • Membenarkan TH untuk menggunakan duit korang bagi sebarang pelaburan/perniagaan. Hasil keuntungan daripada pelaburan ini boleh dikongsi kalau LTH sudi (haa untung yang dikonsi ni la yang diumumkan sebagai dividen dan bonus).

Dalam kata lain, LTH tak kongsi untung pun takpe. Sebab LTH bukanlah badan pelaburan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB). Tapi masalah berlaku bila…

75% duit kat LTH disimpan sebab nak untung, bukan untuk pergi haji

Kevin Spacey pun kecewa dengan gejala-gejala tak senonoh korang. Imej dari Reddit.

Kevin Spacey pun kecewa dengan gejala-gejala tak senonoh korang. Imej dari Reddit.

Untung dalam bentuk dividen dan bonus bagi LTH ni selalunya memang boleh tahan, jadi makin ramai yang guna LTH untuk dapatkan untung, bukan untuk menyimpan.

Tapi masalah utama bukanlah datang daripada pakcik makcik tersimpang niat ni, tapi daripada orang lain. Menurut surat Zeti, sebahagian besar simpanan dalam TH dimiliki oleh sekumpulan pelabur kecil:

Kira-kira 75% jumlah deposit dipegang oleh hanya 5% pendeposit. – Surat daripada Zeti Aziz

Siapa 5% ni agaknya? Menurut penganalisis Syed Akbar Ali, mereka hanyalah pelabur-pelabur yang inginkan pulangan besar, bukannya yang nak pergi ke Mekah.

Jadi tiap kali LTH umumkan hasil untung yang dikongsi ni, golongan 5%  ni lah yang paling seronok. Tapi kalau ada apa-apa problem, golongan ni jugaklah yang mungkin cabut dulu dan keluarkan kesemua simpanan mereka. Dan itulah perkara yang paling parah, sebab…

LTH mungkin tak cukup duit untuk bayar balik semua simpanan

Muka pendeposit bila dividen dan bonus diumumkan... imej dari Reddit.

Muka pendeposit bila dividen dan bonus diumumkan… imej dari Reddit.

Haa kat sini la kita jumpa balik menatang ‘rizab’ ni. Bagi sebuah badan kewangan, rizab (reserve) adalah jumlah minimum yang perlu disimpan dan tak boleh diusik. Rizab tak boleh diberikan sebagai pinjaman ataupun digunakan untuk sebarang urusan perniagaan/pelaburan.

NAH, BACA:
Facebook now shows political ad spend. So we checked which party spent the most on Sabah

Apa yang Zeti risau sangat dengan TH adalah, rizab mereka bukan je setakat habis, malah di tahap negatif kerana jumlah dividen dan bonus yang diberi sejak 2012 melebihi untung yang dikaut:

Amalan pengagihan dividen dan bonus tidak berhemat yang secara puratanya melebihi keuntungan semasa (purata sebanyak 107% bagi tempoh 2012-2014) menyebabkan paras rizab keuntungan terkumpul LTH, yang sememangnya rendah, untuk terus merosot, sehingga tidak mencukupi untuk menangani prestasi portfolio ekuiti yang lemah pada tahun 2015. – Surat daripada Zeti Aziz

Muka kami bila cuba faham benda2 kewangan ni semua... imej dari Reddit.

Muka kami bila cuba faham benda2 kewangan ni semua… imej dari Reddit.

Lagi membimbangkan, menurut surat Zeti, kalau golongan 5% tadi panik dan mula keluarkan deposit mereka, TH mungkin tak cukup duit untuk tanggungan yang lain (termasuklah duit simpanan korang):

Berikutan ini, nilai rizab LTH telah menjadi negatif dan ini bermaksud, pada harga nilai pasaran semasa, aset LTH tidak mencukupi untuk memenuhi kesemua obligasinya (termasuk deposit)… Pada akhir September 2015, nilai aset hanya mencukupi untuk membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap seringgit nilai liabiliti.] – Surat daripada Zeti Aziz

Alamak, dah tu duit yang dah bertahun-tahun korang simpan boleh lesap macam tu je ke??! Katakanlah semua pelabur dan pakcik makcik tadi keluarkan simpanan masing-masing dan TH tak cukup duit nak bayar…

Takpe, sebab TH adalah dijamin sepenuhnya oleh kerajaan

Jadi tak perlulah sedih kalau LTH bankrup...

Jadi jangan sedih, jangan susah, kerana berpisaaaaahhhh… imej dari Reddit.

Kat laman web LTH sendiri ada disertakan Akta Tabung Haji yang menerangkan tentang jaminan kerajaan (di bawah Seksyen 24):

  1. Jika apa-apa perbelanjaan Lembaga berhubungan dengan pengeluaran oleh pendeposit tidak dapat ditampung daripada Kumpulan Wang atau Kumpulan Wang Rizab perbelanjaan itu hendaklah dipertanggungkan pada dan kena dibayar daripada Kumpulan Wang Disatukan.
  2. Apa-apa pembayaran daripada Kumpulan Wang Disatukan hendaklah dengan seberapa segera yang praktik dibayar balik oleh Lembaga kepada Kumpulan Wang Disatukan dan sehingga wang itu dibayar balik wang itu hendaklah menjadi hutang kepada Kerajaan dan tanggungan pertama atas aset Kumpulan Wang dan Kumpulan Wang Rizab.

Apa benda pulak Kumpulan Wang Disatukan tu. Pengertian rasmi yang kami dapat adalah…

Segala hasil atau wang yang didapatkan atau diterima dengan apa cara pun oleh Persekutuan atau sesuatu Negeri mestilah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan bagi Persekutuan atau Kumpulan Wang Disatukan bagi Negeri itu, mengikut mana yang berkenaan. – Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah

Er maknanya… apa-apa duit kerajaan ke? Termasuklah duit KWSP, duit cukai GST apa bagai? Haih, memang cemuih/renyah/penat kalau nak cari dokumen dan penerangan rasmi tentang hal-hal penting macam ni kan.

So… duit korang selamat tak? Boleh pergi haji tak?

Seperti yang disebutkan dalam Akta Tabung Haji, duit korang memang dijamin, PM Najib sendiri pun ada cakap. Tapi duit mana kerajaan nak cekau, itu kita tak tau.

Pasal haji pulak, kita tak tau macam mana LTH kira giliran haji. Sekarang ni kalau korang daftar haji, biasanya kena tunggu sampai 60-70 tahun baru sampai giliran pergi haji. Dengan masalah LTH ni semua, adakah tempoh giliran tu akan terkesan?

Penat kami cari orang yang boleh dirujuk pasal hal ni, tapi semuanya samada 1) Tak arif dengan Tabung Haji; atau 2) Tak mahu diulas sebab hal ni mungkin sensitif. Tapi kalau takde orang yang boleh terangkan, sampai kiamat la kita akan tak tahu.

Jadi, siapa-siapa yang kenal sedara-mara dua tiga pupu yang kerja Tabung Haji atau arif pasal perbankan Islam, boleh kenal-kenalkan pada editor kami? Emel je dia kat [email protected] 🙂

(Nota kaki: Itu belum start sembang pasal pelaburan LTH yang meragukan serta conflict of interest pada orang-orang penting LTH, tapi tu lain hari cerita. Hari ni dah habis air liur.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Here at CILISOS, we believe that the only way to consume information is with a serious dose of flavour. Our aim is to make mundane things like news and current events entertaining, and informative, hopefully in equal measure. Read More

The Serious Legal Stuff

GOT A QUESTION FOR US?

Cilisos Media Sdn. Bhd. Copyright © 2020. All rights reserved.

To Top
Send this to a friend